Disiar dalam dewan Kosmik Disember 2012
Sains Ergonomik; kejuruteraan untuk kesejahteraan pekerja
Muhammad Nuruddin
Bashah
Bc Hons Eng UM
Istilah
Ergonomik adalah istilah yang paling signifikan dan kerap dikaitkan dalam dunia
industri pembuatan, pembinaan dan teknologi kejuruteraan. Tidak hairan bidang
sains ergonomik menjadi salah satu subjek yang wajib ditekankan kepada para
pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang bertugas sebagai ‘wakil’
jabatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (JKKP) di kawasan perindustrian.
Jika anda dapat menghasilkan sebarang teknologi, peralatan, apparatus dan
peranti yang dapat mengurangkan kesakitan, kepenatan dan ketidak selesaan
pekerja, anda dianggap telah berjaya membawa nilai egornomik untuk
kesejahteraan pekerja.
Terminologi
Menurut
International Labour Organization (ILO),
istilah ‘ergonomik’membawa maksud bidang
sains biologi manusia yang berhubung
dengan sains kejuruteraan di antara pekerja dengan persekitaran kerjanya. Ia
suatu sains yang mengkaji kesan sesuatu pekerjaan terhadap kesihatan fizikal
dan mental akibat kerja yang melebihgi kemampuan sistem biologi manusia.
Dewasa
ini, ergonomik yang juga dikenali sebagai ‘faktor manusia’ menjadi antara isu penting di dunia
pekerjaan. Istilah faktor manusia (human factor) mula digunakan di Amerika Syarikat
dan istilah ergonomik lazimnya digunakan di negara Eropah, Asia, Afrika dan
hampir di seluruh dunia.
Menurut Sanders dan McCormick walaupun kedua-dua
istilah ini berbeza dari segi sebutan namun dari segi praktikal ia adalah
sinonim. Selain itu menurut MacLeod,
istilah lain yang sinonim dengan ergonomik dan biasa digunakan termasuklah sistem manusia-mesin (man-machine
system), antara muka sistem manusia (human-system interface) dan kejuruteraan
faktor manusia (human factors engineering).
Dari
segi istilah perkataan ergonomik ini digunapakai oleh Murrell (pada tahun 1949)
apabila beliau menggabungkan dua perkataan Greek iaitu ‘ergon’ bermaksud kerja
dan ‘nomos’
bererti peraturan yang membawa maksud ‘peraturan bekerja’. Ergonomik mula
diperkenalkan dalam risalah pada tahun 1857 oleh seorang pakar sains dari
Poland bernama Jastrzebowski.
Dalam
aspek kejuruteraan, istilah ergonomik
bermaksud suatu bidang sains rebentuk interaksi pengguna dengan sesuatu
peralatan dan tempat kerja untuk cocok (muat) dengan keadaan pengguna atau
pekerja.
Manakala
Persatuan Ergonomik Antarabangsa mentakrifkan ergonomik sebagai kaedah untuk
merekabentuk dalam usaha untuk mengoptimumkan kesejahteraan dan keseluruhan
prestasi manusia semasa bekerja.
Jika
majikan mengatakan ilmu ini sebagai suatu pembaziran dan tidak menyumbang
kepada kejayaan syarikat, mereka telah salah. Ergonomik dijadikan topik bahas
untuk memenuhi dua matlamat iaitu kesihatan pekerja dan produktiviti syarikat
atau jabatan. Jika pekerja dapat bekerja dengan selesa dan pantas, mereka mampu
meningkatkan hasuil produktiviti.
Menurut
NIOSH dalam buku manual untuk Pegawai Keselamatan dan kewsihatan Pekerjaan
Jilid 3, objektif ergonomik adalah meningkatkan tahap efektif dan efisyen kerja
ataupun apa-apa aktiviti yang dilaksanakan seperti mengurangkan kesalahan,
meningkatkan produktiviti dan memudahkan kerja. Ia juga cuba meningkatkan
nilai-nilai kemanusiaan positif seperti, meningkatkan keselamatan, mengurangkan
kepenatan, meningkatkan keselesaan dan kualiti kerja.
Bagaimana terapkan aspek ergonomik?
Makalah
ini tidak mampu mengupas secara terperinci bagaimana penyusunan tempat duduk,
kedudukan pekerja dan mesin, cara bekerja dan sebagainya, tetapi ruang ini
masih boleh menghurai secara umum skop perlaksanaan agenda ergonomik di tempat
kerja.
Untuk
melaksanakan ergonomik, bidang antropometrik perlu dijadikan subjek
penting. Para majikan dan pegawai keselamatan tempat kerja perlu mengetahui
ukuran dimensi, ciri-ciri fizikal seperti isipadu, pusat graviti, jisim dan segmen
tubuh badan manusia. Tanpa penekanan aspek ini, pasti pekerja akan merasai
kesakitan akibat bekerja pada kedudukan yang memerlukan capaian luar lokus
cakupan maksimum tangan sebagai misalannya. Kedudukan kerusi da meja kerja
pelru disesuaikan dengan saiz dan badan pekerja.
Bidang
biomekanik
juga penting dalam memberi penekanan kepada keupayaan anggota badan manusia
melaksanakan kerja mekanikal seperti mengangkat, memikul, menolak atau
memukul/menghentak. Cara mengangkat bebanan dan berat adalah sebahagian
daripada aspek biomekanik ini.
Contoh amalan
ergonomik semasa mengangkat barang
Fisiologi juga merupakan aspek utama dalam menentukan tahap keselesaan
pekerja melaksanakan kerja. Tanpa pengetahun ini menyebabkan majikan atau ketua
seksyen memberi arahan kerja yang menyebabkan kesan kepada jantung dan
peredaran darah.
Sejarah ergonomik
Dari
sudut sejarah, asas sains ergonomik telah diaplikasi dalam budaya Yunani Purba.
Banyak bukti menunjukkan bahawa tamadun Yunani menggunakan prinsip-prinsip
ergonomik dalam reka bentuk alat, pekerjaan dan tempat kerja mereka.
Misalnya
Hippocrates pernah memberi makluman bagaimana
tempat kerja seseorang pakar bedah harus direka dan bagaimana peralatan bedah diatur.
Dalam rekod-rekod arkeologi Mesir awal , peralatan isi rumah digambarkan memenuhi
prinsip-prinsip ergonomik.
Ergonomik dalam sektor pendidikan
Dalam
sektor pendidikan ergonomik adalah penting dalam usaha menghasilkan pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan. Dalam bidang pendidikan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran seperti aspek ruang, pencahayaan, pengudaraan, perabot, dan
pilihan warna adalah perkara yang wajar diambil berat . Perkara ini dikaitkan
dengan persekitaran yang sempurna dan selesa yang akan menjamin kepuasan
pembelajaran yang mantap.
A.
Barbara menyatakan bahawa suasana dan persekitaran bilik darjah yang menarik
dan menyelesakan dapat memberi kesan secara langsung dan tidak langsung dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep ergonomik harus digandingkan bersama
bidang pendidikan kerana ia dapat menjamin kecemerlangan pencapaian akademik
pelajar. Justeru, suasana bilik darjah termasuk surau sekolah juga mempengaruhi
gaya dan keberkesanan interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dan
pelajar.
Tidak
hairan kita dapati sekolah yang memiliki landskap yang cantik, peralatan kerusi
meja yang selesa serta pengudaraan kipas serta tingkap yang baik berjaya
meningkatkan skor dalam peperiksaan utama sekolah.
Dalam
kertas kerja yang dibentang semasa Proceedings of The 4th International Conference on Teacher Education; Join Conference UPI
& UPSI di Bandung, Indonesia, pada 8 hingga 10 November 2010 menyatakan
perkembangan ergonomik dikatakan amat penting dalam bidang pendidikan dan
secara tidak langsung merangkumi faktor-faktor pengajaran dan pembelajaran. Bagi
mewujukan keselesaan dalam pengajaran dan pembelajaran, faktor-faktor fizikal seperti
kebersihan, keindahan, kemudahan dan keselamatan harus dititik beratkan bagi
menimbulkan situasi pengajaran dan pembelajaran yang sihat di kalangan guru dan
pelajar. Jangan sesekali kita memperkecil isu kebersihan dan keceriaan kelas.
Darihal
itu , perancangan yang mengambil kira lokasi sekolah, kemudahan-kemudahan bagi
aktiviti riadah dan landskap yang sesuai akan menyumbang kepada kecergasan,
psikologi dan kesihatan warga sekolah. Landskap yang baik juga bukan sahaja
dapat menyumbang kepada oksigen yang
cukup, malah dapat menapis bunyi kenderaaan, penapis habuk kekotoran di samping
dapat memberikan persekitaran yang nyaman untuk suasana pembelajaran.
Aspek penguatkuasaan perundangan
Jika
tiada ergonomik yang baik tekanan di tempat kerja berlaku dan jika berlebihan boleh menjejaskan prestasi kerja
dan kesihatan. Tekanan yang berlebihan akan menyebabkan pekerja mengalami
stres.
Menurut
Shafinaz (2007) stres tercetus apabila unsur mendesak mengatasi keupayaan untuk
menanganinya. D alam jangka masa panjang ia boleh mengakibatkan tekanan emosi
kronik kepada pekerja yang boleh menyebabkan kemurungan, penyakit jantung,
tekanan darah tinggi dan penyakit mental. Pekerja tidak boleh lari dari tekanan
di tempat kerja tetapi ia boleh ditangani dan diuruskan dengan baik.
Kerajaan
Malaysia telah memiliki undang-undang khusus untuk melindungi tahap kesihatan
dan keselamatan pekerja di tempat kerja melalui Akta Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan 1994.
Menurut
Seksyen 15, Akta Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), menetapkan ‘tugas am bagi majikan ialah
menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat serta menjamin kesejahteraan
pekerja’.
Ia
juga termasuk memastikan tiada kesan negatif daripada faktor-faktor seperti
kebisingan, pencahayaan, suhu, kelembapan, pengalihudaraan (ventilation) ,
habuk, bau, getaran dan bahan berbahaya.
Majikan
juga hendaklah mengamalkan budaya tempat kerja yang berkualiti seperti
mengutamakan persekitaran kerja yang terbuka, mengamalkan dialog dan
perhubungan secara meluas, memberi peluang sama rata dan tiada diskriminasi
serta memastikan penyelesaian masalah bersama.
Masalah
keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang melibatkan isu ergonomik boleh
diselesaikan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang
ditubuhkan di bawah Seksyen 30.
Aplikasi ergonomik di tempat kerja adalah
sejajar dengan kehendak Seksyen 4(c)
iaitu ‘memperkenalkan persekitaran bekerja yang sesuai dengan keperluan
fisiologi dan psikologi pekerja’.
Jelas
sains ergonomik telah diperkenalkan di Malaysia lebih sedekad yang lalu dan
membangun seiring dengan penubuhan
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada 1 Disember
1992.
Akibat tiada ergonomik
Kegagalan
mekasanakan ergonomik boleh menjadikan
pekerja;
- Melakukan kerja berulang kali untuk menyelesaikan sesuatu kerja(kedudukan peralatan kerja yang tidak disusun rapi).
- Penggunaan daya yang banyak (ketiada alat bantu/mesin)
- Postur badan yang tidak sesuai atau kaku (kerana ketiadaan penerapan senaman ringkas atau bentuk kerusi yang tidak sesuai)
- Kerja terpaksa dilakukan pada jangka masa yang panjang (kedudukan bahan kerja, aturan kerja yang tidak betul).
- Gegaran yang mengganggu anggota tubuh dan aliran darah (akibat peralatan pneumatik atau kerusi jentera yang tidak berkusyen)
- Pemicitan saluran darah (akibat sentuhan berpanjangan dengan alatan kerja sebagai contoh jurutaip yang bersentuhan tapak tangan atas meja)
Sekiranya
seseorang pekerja melakukan kerja berulang kali, pekerja tersebut biasanya akan
melakukan tugas tersebut menggunakan anggota badan yang sama secara
berulang-ulang. Apabila kerja sebegini dilakukan, anggota badan tersebut tidak
akan mendapat rehat yang secukupnya dan seterusnya menyebabkan ketidakselesaan
dan kesakitan kepada pekerja.
Menurut
Amstrong dan Chaffin (1979), bagi kerja yang mempunyai masa kitaran yang kurang
dari 30 saat, risiko untuk penyakit musculoskeletal diseases (MSDs) meningkat
sebanyak 5.5 kali ganda berbanding kerja yang mempunyai masa kitaran yang lebih
daripada 30 saat
Berlainan
pula dengan seorang pekerja yang terlibat dengan kerja yang menggunakan daya
yang banyak. Isu penggunaan daya yang banyak lebih tertumpu kepada serat-serat yang ada pada otot, tendon dan
sendi yang terputus dan seterusnya mengurangkan kekuatan pekerja untuk
melakukan kerja sedemikian rupa bagi jangkamasa yang panjang.
Bagi
pekerja yang terbabit dengan kerja-kerja yang memerlukan kedudukan postur yang
tidak sesuai atau statik, ia boleh menyebabkan kepenatan yang lebih cepat. Ini
adalah kerana di dalam postur yang sedemikian, otot-otot yang berada di dalam
keadaan statik tidak mampu untuk mengepam darah yang membawa karbon dioksida
dan bahan buangan keluar daripada anggota badan yang bekerja dan tidak mampu
untuk mendapatkan darah yang membawa oksigen daripada jantung. Akibatnya
pekerja boleh rasa kesakitan pada anggota badan yang terbabit.
Contoh ukuran jarak
kedudukan tangan, kaki dan mata seorang pekerja pejabat untuk menerapkan
ergonomik.
Menurut
satu artikel yang diterbitkan dalam isu Januari 2005 Januari oleh JADA (jurnal Persatuan Doktor Gigi
Amerika), lebih daripada 70% pelajar pergigian melaporkan sakit leher, bahu dan
sakit belakang menjelang tahun ketiga sekolah pergigian. Ia mengalami kesakitan
akibat postur badan yang kerap membongkok dan tidak baik untuk tulang.
Bukan
sekadar
postur badan yang diambil berat, malah disebabkan banyak kerja
pergigian memerlukan kemahiran,
tumpuan dan tangan yang stabil, doktor
gigi boleh mengalami kesakitan tangan. Malah walaupun pelajar pergigian
mempunyai kehidupan di luar kelas
pergigian, tabiat kerja setiap hari boleh menambah tekanan pada badan
dan
mereka memerlukan hanya satu penggal (6 bulan) untuk mengetahui samada
mereka mengidap Gangguan Muskuloskeletal (MSD) atau tidak.
Kerja
manual adalah kerja tanpa menggunakan mesin atau robot. Di Amerika pengendalian
kerja secara manual (Manual material handling (MMH) work)
turut menyumbang kepada peratusan yang besar iaitu lebih setengah juta kes
gangguan otot skeletal yang dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat.
Masalah muskuloskeletal (MSD) sering
melibatkan regangan dan terseliuh
belakang bahu, anggota atas.
Penyakit ini boleh menyebabkan sakit
berlarutan, kecacatan, rawatan perubatan yang mahal, dan tekanan kewangan bagi
mereka yang menghidap mereka. Malah
majikan sering kali terpaksa membayar bil, sama ada secara langsung atau
melalui insurans pampasan pekerja, pada masa yang sama mereka memang akan menghadapi kerugian kehilangan kapasiti penuh
pekerja mereka.
Cabaran dan halangan
Jika
kita merujuk pada kajian Elmy (2005), temuramah beliau bersama Dr. Paul Yeow
seorang ahli akademik ergonomik, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi dalam
usaha mengaplikasikan ergonomik di Malaysia. Antara cabarannya ialah
(1)
bidang ergonomik di Malaysia yang masih baru sering disalahertikan oleh banyak
pihak terutamanya pihak majikan yang menganggap ia suatu pembaziran masa dan
wang,
(2)
kekurangan penyelidik untuk memperkenalkan dan mendalami bidang ergonomik,
(3)
pekerja industri yang kebanyakkannya berpendidikan rendah dan
(4)
kebanyakkan pihak pengurusan kurang prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan
pekerjaan. Oleh itu, antara masalah yang dinyatakan ini boleh diatasi dengan
menjalankan lebih banyak kajian seperti yang dilakukan oleh penyelidik untuk
meningkatkan bilangan kajian dalam bidang ergonomik. Sekaligus dapat membantu
mengatasi masalah kekurangan penyelidik untuk memperkenalkan bidang ergonomik
di negara ini.
Para
pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kawasan kerja perlulah
menjalankan tugas dengan baik untuk menerapkan ergonomik.
Konsep Muda Mauri Maura
Bagi
sesebuah syarikat atau jabatan kerajaan yang mengamalkan konsep Kaizen dalam
pengurusan, pengeluaran dan tindakan di tempat kerja, mereka sebenarnya telah
berjaya menepati sebahagian besar daripada sains ergonomik kerana terdapat
konsep Muri, Mura dan Muda. Tiga konsep ini menekankan produksi atau pengeluara
yang optimum melalui mengurangkan kesusahan, halangan dan kepayahan sesuatu
pekerjaan itu dilaksanakan. Muri sebagain coontoh adalah suatu budaya kerja
yang cuba meminimakan bebanan yang tidak munasabah pada manusia ataupun mesin.
Mura pula adalah budaya kerja yang mengelak daripada ketidakseimbangan bebanan
kerja antara pekerja mahupun mesin.
Pelbagai
konsep pengurusan boleh diaplikasi untuk menerapkan ergonomik. Yang pasti
kerjasama erat antara majikan dan pekerja sahajalah yang mampu meningkatkan
produktiviti melalui penerapan ergonomik.
sumber:http://metalurgis-melayu.blogspot.com/2012/12/disiar-dalam-dewan-kosmik-disember-2012.html
lagi artikel ergonomik: http://www.majalahniaga.com/fungsi-dan-faktor-ergonomik-dalam-pejabat.html#axzz2NHOvpRIa